::
Bagaimana boleh kami bantu?
Apa itu Pengantaraan?
Pengantaraan ialah satu alternatif kepada proses litigasi tradisional yang juga dikenali sebagai proses penyelesaian pertikaian alternatif. Pengantaraan melibatkan Pengantara membantu siasatan mengenai aduan, tuntutan atau pertikaian yang dibuat oleh pengadu di samping memudahkan penyelesaian antara pengadu dan penyedia perkhidmatan kewangan mengenai isu-isu yang dibangkitkan.
Process Pengantaraan
Proses pengantaraan melibatkan penyiasatan terperinci ke atas aduan, pertikaian atau tuntutan yang dibuat menggunakan pelbagai sumber berdasarkan fakta-fakta yang diberikan oleh pihak-pihak yang terlibat, perbincangan terbuka antara pihak pengadu dan pihak penyedia perkhidmatan kewangan berkenaan, perjumpaan dengan pihak terlibat secara berasingan, merujuk kepada amalan industri, merujuk sumber-sumber undang-undang sebelum membuat sesuatu keputusan ke atas aduan, pertikaian atau tuntutan. Proses pengantaraan juga memberi peluang kepada pihak pengadu dan penyedia perkhidmatan kewangan terlibat membincangkan isu-isu yang dibangkitkan, membetulkan salah faham antara kedua-dua pihak, mengenal pasti kepentingan kedua-dua pihak dan mencari ruang persamaan dan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan aduan, pertikaian atau tuntutan yang dikemukakan. Dalam proses ini, Pengantara merupakan orang tengah kepada kedua-dua pihak yang terlibat. Sekiranya penyelesaian secara damai tidak dapat dicapai, Pengantara akan membuat keputusan berdasarkan penilaiannya ke atas isu yang dibangkitkan dengan mengambil kira aspek undang-undang dan amalan industri.
Semasa pengantaraan dijalankan, saksi-saksi tidak perlu hadir memadai kedua-dua pihak mengemukakan dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan.
|
Perwakilan daripada Penyedia Pekhidmatan Kewangan Semasa Pengantaraan
Penyedia perkhidmatan kewangan yang dirujuk akan diwakili oleh pegawai kanan yang diberi kuasa untuk menyelesaikan sesuatu aduan, pertikaian atau tuntutan semasa pengantaraatn dijalankan. Semasa proses tersebut diadakan, hanya pengadu dan wakil penyedia perkhidmatan yang dibenarkan hadir tanpa melibatkan penasihat undang-undang masing-masing sekiranya ada.
Walau bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah berkemungkinan membenarkan perlantikan pakar untuk memberi nasihat kepada Pengantara sekiranya sesuatu kepakaran dalam bidang tertentu itu diperlukan untuk pengantaraan.
Keputusan dan Award
Sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang penyelesaian, pengantara, bertindak sebagai pengadil akan membuat keputusan. Dalam membuat keputusan beliau akan mengambil kira aspek undang-undang dan amalan industri tetapi tidak terikat dengan sebarang keputusan yang terdahulu yang pernah dibuat oleh beliau atau mana-mana pengantara. Keputusan tersebut wajib dipatuhi oleh Penyedia Perkhidmatan Kewangan tetapi pengadu mempunya pilihan sama ada ingin menolak atau menerima keputusan tersebut. Tiada prosidur rayuan selepas keputusan dibuat oleh pengantara.
Penerimaan Keputusan/Award
Pengantara akan memaklumkan kepada Penyedia Perkhidmatan Kewangan berhubung penerimaan award oleh pengadu dan meminta pembayaran dibuat. Penyedia Perkhidmatan Kewangan harus membuat pembayaran terus kepada pengadu. Biro tidak akan mengendalikan pembayaran berikutan keputusan yang dibuat oleh pengantara.
Selepas Penyedia Perkhidmatan Kewangan membuat pembayaran dan mematuhi award, ianya dianggap sebagai penyelesaian penuh dan akhir atas pertikaian, aduan atau tuntutan yang dibuat ke atasnya. Pengadu tidak lagi mempunyai sebarang hak untuk mengambil tindakan undang-undang atau mengemukakan isu yang dibangkitkan kepada mana-mana badan arbitrasi . Adalah menjadi tanggungjawab Penyedia Perkhidmatan Kewangan mendapatkan dokumentasi pelepasan sewajarnya daripada pengadu.
Penolakan Keputusan/Award
Sekiranya award tidak diterima oleh pengadu, pengadu bebas mengambil tindakan undang-undang atau arbitrasi. Hak Penyedia Perkhidmatan Kewangan juga tidak terjejas sekiranya pengadu menolak keputusan pengantara.
Pendapat dan Terma Penyelesaian, Komunikasi, Nota dan Rekod-rekod yang dibuat Semasa Pengantaraan.
Semua hal berkaitan prosiding pengantaraan adalah dianggap prosiding ' tanpa prejudis'. Oleh yang demikian, adalah amat penting kepada semua pihak yang terlibat dalam pengantara mengambil maklum dan mematuhi perkara-perkara berikut:
a) Apa jua maklumat yang diketahui atau didedahkan semasa pengantaraan dijalankan tidak boleh menjejaskan posisi hak dan prejudis ke atas pertikaian, aduan atau tuntutan dalam mana-mana prosiding perundangan atau arbitrasi selanjutnya.
b) Pandangan, terma penyelesaian dan keputusan pengantara tidak boleh didedahkan kepada mahkamah atau arbitrator.
c) Walaupun maklumat-maklumat telah didedahkan kepada Pengantara, ia tidak bermakna hak istimewa dan kerahsiaan dikecualikan dalam mana-mana prosiding perundangan atau arbitrasi selanjutnya.
d) Walaupun ketepatan maklumat atau kesahihan atau makna sesuatu dokumen itu tidak dicabar semasa pengantaraan, ia tidak menghalang maklumat-maklumat tersebut dicabar dalam mana-mana prosiding perundangan atau arbitrasi selanjutnya.
e) Sebarang komunikasi sama ada secara lisan atau bertulis yang terdapat pada setiap pihak di antara pengantara dan pihak yang satu lagi berhubung dengan pengantaraan dianggap hak istimewa sepenuhnya.
f) Sebarang nota atau rekod-rekod yang dibuat oleh Pengantara dan /atau pihak yang terlibat, akan kekal dianggap sulit dan persendirian dan tidak tertakluk kepada pendedahan dalam mana-mana prosiding perundangan atau arbitrasi selanjutnya.
g) Pengantara tidak boleh disapina untuk mengemukakan bukti sebagai saksi dalam prosiding yang melibatkan pertikaian yang sama atau menawarkan diri secara sukarela untuk mengemukakan sebarang bukti-bukti.
Penutup
Biro berazam untuk menyelesaikan pertikaian, aduan atau tuntutan dalam masa 3 bulan selepas kes dirujuk. Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada penerimaan maklumat-maklumat atau dokumen-dokumen daripada pengadu dan Penyedia Perkhidmatan Kewangan yang diperlukan untuk pengantaraan. Lebih cepat maklumat diterima, lebih cepat prosiding pengantaraan dapat diadakan dan lebih cepat pertikaian, aduan atau tuntutan dapat diselesaikan atau dibuat.
Kelebihan-kelebihan menggunakan pengantaraan sebagai alteratif dalam menyelesaikan aduan, pertikaian atau tuntutan
Perkhidmatan pengantaraan adalah disediakan secara percuma kepada pengadu
Perkhidmatan ini disediakan untuk semua pengguna perkhidmatan kewangan tidak mengira jawatan, status atau lokasi yang mempunyai aduan, pertikaian atau tuntutan ke atas ahli-ahli BPK tertakluk kepada had-had tertentu
Proses pengantaraan termasuk keputusan yang dibuat adalah sulit dan hanya diketahui oleh pihak-pihak yang terlibat sahaja
Pengantara berpendirian berkecuali dalam menjalankan tugas serta tanggungjawabnya.
Dapat mengelakkan proses litigasi yang panjang dan kos yang tinggi bagi kedua-dua pihak yang terlibat.
Pengadu tidak terikat dengan keputusan Pengantara dan bebas mengambil tindakan lanjut termasuk tindakan undang-undang sekiranya masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat
Keputusan Pengantara wajib dipatuhi oleh ahli BPK yang terlibat.
Fungsi Pengantara
Bertindak sebagai Kaunselor, Pendamai, Penyiasat dan Pengadil bagi tujuan penyelesaian aduan, pertikaian atau tuntutan terhadap institusi-institusi penyedia perkhidmatan kewangan.
Menolak aduan yang dikemukakan atau memberi awad kewangan yang mesti dipatuhi oleh Ahli BPK berkenaan sekiranya aduan, pertikaian atau tuntutan termasuk dalam bidangkuasa BPK.
Pengantara berpendirian berkecuali dalam membuat sebarang keputusan berhubung aduan, pertikaian atau tuntutan
Sekiranya timbul persoalan mengenai hal ehwal Syariah dalam proses pengantaraan, Pengantara akan merujukkan persoalan berkenaan kepada Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan di bawah sub seksyen 16B(1) Akta Bank Negara 1958, sebelum membuat keputusan.
|
|